Wednesday, February 25, 2026

Hanya Tuhan yang tahu

Benam saja semua rasa

Bakar saja biar jadi debu

Hapus hilang dari pandangan

Biar nampak indah

Tiada yang tahu gelora yang melanda

Dia yang berkayuh 

Menepis segala gelombang

Bimbang mungkin karam sendirian

Begitupun doa saja dalam diam

Moga Allah mudahkan setiap urusan.

Monday, February 9, 2026

Sikap Mementingkan Diri dan Pemutarbelitan Sejarah: Implikasi Terhadap Integriti Ilmu dan Pembentukan Masyarakat




Pengenalan

Sejarah berfungsi sebagai rekod kolektif yang membentuk identiti, kefahaman sosial, dan arah tuju sesebuah masyarakat. Namun, dalam konteks sosial dan politik, wujud kecenderungan sesetengah individu atau kelompok untuk mementingkan diri dengan memanipulasi, memutar belit, atau memadam fakta sejarah demi kepentingan peribadi, reputasi, atau kuasa. Amalan ini bukan sahaja menjejaskan kebenaran empirikal, malah melemahkan integriti ilmu serta merosakkan asas kepercayaan sosial (Appleby et al., 1994).

Konsep Sikap Mementingkan Diri dan Pemutarbelitan Sejarah

Sikap mementingkan diri merujuk kepada kecenderungan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempertimbangkan implikasi terhadap orang lain atau kebenaran objektif. Dalam konteks sejarah, pemutarbelitan berlaku apabila naratif dipilih secara selektif, fakta disenyapkan, atau peristiwa ditafsirkan secara berat sebelah bagi membina imej tertentu. Pemilihan fakta dan penafsiran sejarah tidak pernah neutral sepenuhnya kerana ia dipengaruhi oleh kerangka pemikiran penulis sejarah serta konteks kuasa yang melingkari penghasilan naratif (Carr, 1961; Foucault, 1980). Oleh itu, penulisan sejarah yang berat sebelah berpotensi membentuk pemahaman awam yang menyimpang daripada realiti empirikal.

Faktor-faktor Pendorong

Antara faktor utama yang mendorong pemutarbelitan sejarah ialah kepentingan kuasa dan legitimasi, pengurusan imej dan reputasi, bias kognitif, serta kelemahan literasi maklumat. Hubungan antara kuasa dan pengetahuan menunjukkan bahawa naratif sejarah sering digunakan untuk mengabsahkan autoriti tertentu (Foucault, 1980). Selain itu, bias kognitif—khususnya kecenderungan mempertahankan diri—mendorong individu menilai bukti secara selektif demi melindungi imej atau kepentingan peribadi (Kahneman, 2011). Dalam masyarakat yang tahap literasi maklumatnya rendah, naratif yang dimanipulasi lebih mudah diterima tanpa penilaian kritis (Wineburg, 2001).

Implikasi Terhadap Masyarakat dan Ilmu

Pemutarbelitan sejarah membawa implikasi serius terhadap integriti akademik dan kohesi sosial. Pertama, ia menghakis kepercayaan terhadap institusi ilmu apabila kebenaran digantikan dengan naratif berkepentingan (Appleby et al., 1994). Kedua, ia menghalang pembelajaran daripada kesilapan silam, sekali gus meningkatkan risiko pengulangan konflik, ketidakadilan, atau kegagalan dasar. Ketiga, pemadaman sejarah sebenar melemahkan pembentukan identiti kolektif yang berasaskan kejujuran dan kebertanggungjawaban. Secara konseptual, gambaran masyarakat yang memanipulasi kebenaran dan memadam rekod masa lalu turut dikritik dalam wacana sastera sebagai amaran normatif terhadap bahaya autoritarianisme (Orwell, 1949).

Pendekatan Mengatasi

Bagi membendung fenomena ini, beberapa langkah strategik wajar diambil. Pertama, pengukuhan etika penyelidikan dan standard akademik perlu menuntut ketelusan sumber serta triangulasi data (Appleby et al., 1994). Kedua, pendidikan literasi maklumat dan pemikiran kritis sejarah perlu diperkukuh agar masyarakat mampu menilai kesahihan naratif secara berasaskan bukti (Wineburg, 2001). Ketiga, pendekatan pelbagai perspektif dalam penulisan sejarah dapat mengurangkan bias tunggal dan memperkayakan pemahaman kolektif (Carr, 1961). Keempat, akses terbuka kepada arkib dan data primer menyokong semakan bebas serta akauntabiliti awam terhadap dakwaan sejarah.

Kesimpulan

Sikap mementingkan diri yang mendorong pemutarbelitan atau pemadaman sejarah sebenar merupakan ancaman terhadap kebenaran, integriti ilmu, dan keharmonian sosial. Komitmen terhadap kejujuran intelektual, ketelusan metodologi, serta keterbukaan kepada pelbagai perspektif adalah prasyarat penting dalam pembinaan naratif sejarah yang bertanggungjawab. Dengan memperkukuh literasi maklumat dan etika akademik, sejarah dapat berfungsi sebagai wahana pembelajaran yang membantu masyarakat membina masa depan secara adil dan beretika.


Rujukan (APA 7th)

Appleby, J., Hunt, L., & Jacob, M. (1994). Telling the Truth About History. New York, NY: W. W. Norton & Company.
Carr, E. H. (1961). What Is History? London: Penguin Books.
Foucault, M. (1980). Power/Knowledge: Selected Interviews and Other Writings, 1972–1977. New York, NY: Pantheon Books.
Kahneman, D. (2011). Thinking, Fast and Slow. New York, NY: Farrar, Straus and Giroux.
Orwell, G. (1949). Nineteen Eighty-Four. London: Secker & Warburg.
Wineburg, S. (2001). Historical Thinking and Other Unnatural Acts: Charting the Future of Teaching the Past. Philadelphia, PA: Temple University Press.


Tuesday, January 20, 2026

Kerana kasih itu mulia.


Kadangkala, dalam diam kita belajar menyingkirkan orang dengan cara yang kita sangkakan halus. Kita tidak menghalau, tidak meninggikan suara, tidak memutuskan hubungan secara terang-terangan. Namun sikap dingin, layanan berbeza dan jarak yang disengajakan akhirnya tetap kelihatan jelas. Apa yang kita cuba sembunyikan, sebenarnya terbaca melalui perbuatan.


Ada masanya kita memilih untuk mengasingkan orang yang tidak kita sukai. Bukan kerana mereka melakukan kesalahan besar, tetapi mungkin kerana perbezaan pandangan, sikap, atau sekadar rasa tidak serasi. Kita terlupa bahawa setiap insan mempunyai kekurangan, dan kita sendiri juga tidak pernah sempurna. Dalam usaha menjaga emosi sendiri, tanpa sedar kita melukakan hati orang lain.


Kita sering menuntut penghormatan. Kita mahu dihargai, difahami dan diraikan. Namun pada masa yang sama, kita sendiri tidak benar-benar tahu bagaimana untuk menghormati. Hormat bukan sekadar kata-kata manis atau layanan baik apabila kita senang, tetapi tentang keikhlasan menerima orang lain walaupun mereka berbeza daripada kita.


Tanpa kita sedar, jurang yang terbina itu mungkin satu hari akan kembali kepada kita. Apa yang kita lakukan hari ini, boleh sahaja dirasai semula oleh diri kita sendiri pada masa hadapan. Cuba fikirkan perasaan kita jika kita pula disisihkan, dipinggirkan, atau dilayan dengan sikap dingin. Pastinya ia menyakitkan, walaupun dilakukan secara senyap dan “beradab”.


Inilah masanya untuk kita berhenti sejenak dan bermuhasabah. Belajarlah membina hubungan yang baik dan harmoni. Hubungan yang berasaskan saling menghormati, saling memahami dan saling bertolak ansur. Hormat tidak boleh dipaksa, tetapi lahir daripada keikhlasan sikap dan keindahan akhlak.


Binalah kehormatan, bukan dengan menjatuhkan orang lain, tetapi dengan meninggikan nilai diri sendiri. Kerana akhirnya, cara kita melayan manusia lain adalah cerminan siapa kita di sisi manusia — dan di sisi Tuhan.

Kadangkala kita tidak berniat untuk menyakiti sesiapa. Kita hanya cuba menjaga ruang sendiri, namun tanpa sedar, sikap kita mencipta jarak di hati orang lain. Kita mahu dihormati, tetapi lupa bahawa hormat itu lahir daripada cara kita melayan, bukan daripada apa yang kita tuntut.

Jurang yang terbina perlahan-lahan itu mungkin suatu hari akan kembali kepada kita. Andai kita berada di tempat mereka, tentu kita juga berharap untuk difahami, diterima dan dilayan dengan baik. Maka belajarlah membina hubungan yang harmoni, dengan hati yang lebih lapang dan sikap yang lebih empati. Kerana kehormatan sebenar tidak lahir daripada menjauhkan, tetapi daripada kelembutan dan keikhlasan dalam berbuat baik.

Monday, December 29, 2025

Cukuplah DIA bagiku.

Ada ketika 

Hatiku terlalu menjauh.

Dibawa pergi bersama rasa

Berbaur segala nya

Jika ada sayap

Ingin saja berlalu pergi bersama angin

Ingin juga bak debu hilang ditelan waktu

Tanpa siapa sedar di mana melekat.


Ingin juga ada ketikanya

Hilang pergi melepas segala pautan.


Namun iman selalu berbisik,

Berpautlah pada tali yang satu

Yang sentiasa menerina rintihan

Sentiasa mendengar keluhan

Sentiasa ada mendengar cerita.tentang keluh kesah hambaNya

Cukuplah Dia bagiku..

Saturday, August 30, 2025

Rindu!

Rindu ni bukan sebab dah tiada, kerana kau sentiasa ada dalam setiap detik hidup kami. Rindu bukan sebab jauh. Kejauhan tidak pernah menjadi jarak pemisah. Rindu pada bicara bicara tentang cinta dan kehidupan. Rindu pada tatapan yang penuh kasih sayang. Rindu pada amanat  amanat tentang hidup yang bakal berpenghujung.

Rindu dengan doa doa yang selalu kau pohonkan, buat kami cahaya mata. Rindu pada pesanan pesanan hidup berkeluarga.

Rindu pada kasih sayang, perhatian, kebaikan, penghormatan.

Rindu pada cerita cerita ceria. Rindu pada kisah kisah nostalgia.

Rindu pada segala galanya.

Rindu pada yang pergi, namun kasih tetap subur di hati.




Monday, April 28, 2025

Aidilfitri 1446H/ 31Mac2025

26/3/2025
Bersamaan 25 Syawal 1446 Hijri

Tiada lagi panggilan yang akan disahut.
Ayah pergi dengan tenang,
Bersama airmata mengalir dibirai dua matanya,
Tiada lagi boleh jadi makmum 
pada solat fardhu,
Tiada lagi mendengar khutbah Aidilfitrinya, bersama esak tangisnya
Tiada lagi cerita cerita ceria dari pertemuannya dengan sahabat sahabatnya, 
Tiada lagi cerita makanan enak di rumah kenduri,
Tiada lagi jajanan pasar malam untuk dimakan bersama,
Tiada lagi nasihat nasihat tentang hidup,
Tiada lagi saranan saranan doa untuk diamalkan,
Terlalu banyak untuk diungkapkan,
Segalanya tetap dingatan,




Thursday, April 24, 2025

Sebuah kehilangan.

Semakin menjauh

Sekian harinya, 

Pergi yang tidak kembali,

Momen yang telah menoktahkan.

Detik detik yang membawa kehilangan,


Sudah tidak ku hitung lagi

Pernah  ketika,  pedih didada

Tiada rasa kesal cuma redha,

Pasrah pada kehendakNYA

Hanya kami datangi persemadianmu dengan doa,

Dengan penuh harapan padaNYA,

Pengakhiran yang husnul khotimah. 

Berbahgialah ayah.